Awang Metusin dan Dayang Noriah menangi Peraduan Fotografi Anti-Dadah

Oleh: Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim, Pelita Brunei 16 Ogos 2010

 JERUDONG, Sabtu, 14 Ogos. – Kegiatan BASMIDA dalam menganjurkan Peraduan Fotografi Anti-Dadah ialah bagi meningkatkan keutamaan mengenai nilai-nilai murni dan akhlak mulia dan luhur yang terdapat dalam keluarga, masyarakat, agama dan negara untuk mencegah kegiatan kejadian antisosial yang tidak diingini seperti mencuri dan menyalahgunakan dadah haram.

Yang Di-Pertua, Persatuan Basmi Dadah Negara Brunei Darussalam (BASMIDA), Datin Hajah Masni binti Haji Mohd. Ali menjelaskan perkara tersebut dalam kata alu-aluannya di Majlis Perasmian dan Penyampaian Hadiah Peraduan Fotografi Anti-Dadah di Dewan Shahbandar, Hotel Holiday Lodge, di sini.

Menyentuh mengenai tujuan utama BASMIDA menjalankan kegiatan Peraduan Fotografi Anti-Dadah ialah untuk meningkatkan kesedaran akan keutamaan nilai-nilai positif yang luhur dan mulia masyarakat dalam mencegah penyalahgunaan dadah, serta menerangkan, menerapkan, mempertahankan, mengasuh, mendidik, mengajar, memberi tauladan, mengamalkan dan mentarbiahkannya.

Setiausaha Tetap, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato Paduka Awang Haji Omar bin Haji Abd. Rahman hadir selaku tetamu kehormat majlis tersebut.

Pada majlis itu, tetamu kehormat juga menyempurnakan pelancaran buku ‘Upholding the Nations Morality Under The Monarch’s Leadership’ serta juga menyampaikan penyampaian hadiah kepada para pemenang Peraduan Fotografi Anti-Dadah, seterusnya menyaksikan pameran fotografi anti-dadah yang diadakan di majlis tersebut.